Monday, June 29, 2009

Zaman Kanak Kanak ku di Johor Bharu

Di Johor Bharu aku dan keluarga tinggal di sebuah rumah setinggan yang di sewa, di Kampong Kubur Dagang, Kebun Teh , Johor Bharu. Abah bekerja sebagai seorang tukang masak askar di kem Majidee, Johor. Bermulalah kehidupan aku bersama keluargaku termasuklah dengan dua orang adikku, Rosmawati dan Basri ( yang ketika itu masih bayi lagi). Sebagai kanak kanak, aku tidak mengalami masaalah dalam mensesuaikan kehidupan aku di tempat baru.

Sekejap saja aku sudah mempunyai kawan kawan rapat, yang paling rapat dengan aku adalah Azizman bin Alias. Dia juga rakan satu kelas dengan aku di Sekolah Kebangsaan Kebun Teh. Aku juga tidak mengalami masaalah di hari pertama persekolahan, ramai rakan sekelas aku yang menangis di hari pertama, aku dan Azizman relax saja, kami duduk bersebelahan.

Masih aku ingat lagi guru darjah aku bernama Cikgu Mohammad Isnin, Ustaz aku bernama Ustaz Mastor. Masih juga aku ingat rakan rakan sedarjah yang rapat dengan aku selain Azizman, Zulkifli, Salasawati,Rosmini, Noraishah dan Norzilah. Aku menjadi perhatian guru guru ketika itu, kerana aku adalah murid yang paling cergas dan juga bijak di dalam kelas dan Azizman adalah pesaing terdekat aku.

Di setiap ujian aku pasti mendapat A dan juga numbor satu dalam kelas, dan Azizman nombor dua. Mak pernah berkata pada aku yang guru guru memberi tahu mak ( ketika mengambl report card)..* Bakri ni bijak budaknya tapi nakal dalam kelas*...hahaha..memang aku nakal dalam kelas, aku suka mengusik teman teman lain dan juga buat bising dalam kelas.Ini mungkin kerana aku di besarkan di dalam suasana kampong dan aktif dalam kehidupan seharian aku.

Sebelah petang, aku dan Azizman akan menghadiri sekolah ugama, di sekolah yang sama, di sekolah ugama aku bertemu dengan rakan rakan yang belajar di sekolah lain ( kebanyakkannya dari sekolah aliran Inggeris berdekatan). Disini aku rapat dengan Razak dan juga Faridah binti Mohd Nor. Mereka ini anak orang berada, bukan macam aku anak orang susah. Yang aku ingat, ayah Razak adalah salah seorang pegawai kerajaan, begitu juga ayah Faridah adalah seorang ahli perniagaan dan juga tuan tanah di tempat kami sekeluarga menyewa. Walau bagimanapun, aku dan Azizman tetap menyerlah dalam pelajaran di sekolah ugama.

Waktu lapang aku di sini banyak aku habiskan dengan bermain dengan kawan kawan dan kemana saja aku pergi, Azizman akan berada bersama aku.Kami dan teman teman yang lain bermain bola, bola rounders ( macam baseball), merayau segala ceruk kampong dan macam macam lagi. Tapi tak sama dengan kegiatan aku di kampong bersama pakcu dulu, di kampong kami lebih adventerous.

Waktu malam aku akan pergi mengaji dengan Ustaz Sahlan besama Azizman, mungkin kerana kami termasuk di dalam kumpulan kanak kanak yang agak pintar maka dengan sekejap saja kami sudah boleh membaca Al Quran dengan baik.

Abah aku adalah seorang ayah yang garang dan tegas dan tak banyak cakap, dia membuat jadual waktu untuk aku, dan dia akan memastikan aku mengikut jadual itu. Kehidupan aku mengikut jadual yang di berikan, waktu belajar bermula dari jam 9 malam sampai jam 10 malam, sebelum itu aku kena pergi mengaji. Waktu bermain di hari biasa hanyalah dari jam 5 petang sampai jam enam petang. Kalau aku lewat pulang kerumah, rotan abah akan menanti dan biratlah kaki aku kena rotan, semenet pun tak boleh lewat.

Kalau di hari minggu, aku kena bangun awal menunaikan solat subuh, jam 8 pagi tepat sudah kena mengulangkaji pelajaran sampai ke jam 11 pagi. Lepas itu free time sampai jam enam petang. Aku masih ingat lagi, abah membelikan aku kamus, dia suruh aku baca dan hafalkan perkataan english yang ada. Aku banyak belajar bahasa inggeris dari Faridah dan juga Norlaila, teman sepermainan yang kebetulan belajar di sekolah inggeris.

Setiap hari Sabtu, jam 12 tengahari mak akan hantar aku pergi ke perpustakaan Sultan Ismail di bandar Johor Bharu. Waktu itu mak dan abah tak mampu menghantar aku pergi tuition, jadi perpustakaan itu lah tempat aku menambah ilmu. Semasa kecil aku, aku memang suka membaca, aku akan menghabiskan masa aku membaca buku di perpustakaan tersebut dan akan meminjam tiga buah buku untuk di bawa balik dan akan memulangkannya di minggu berikutnya. Aku selalu meminjam satu buku cerita dalam bahasa inggeris dan dua buku dalam bahasa melayu. Begitulah cara aku memperbaiki bahasa inggeris aku. Alhamdulillah, aku sering ( senantiasa ) mendapat A dalam ujian bahasa inggeris aku.

Lagu lagu Pop yeh yeh, adalah lagu di zaman kanak kanak aku. Aku hafal dengan hampir semua lagu yang sering berkumandang di corong radio waktu itu. Lagu lagu dari penyanyi pujaan waktu itu, seperti A.Rahman Hassan, A. Rahman Onn, Salim I, A Ramli, Jefrey Din, Ahmad Jais, Hasnah Harun, J Kamisah, Sanisah Huri dan lain lain penyanyi angkatan pop yeh yeh hampir semua aku dan Azizman hafal.

Kami dan beberapa teman lagi akan berangan menjadi anggota kugiran, dan mengambil batang ubi sebagai gitar, dan tin tin kosong segai drum, kami akan menyanyi dan melalak sepuas hati.

Pernah di stau majlis hari guru, aku dan Azizman bergaduh kerana berebut ingin menyanyikan lagi * Cincin Emas *.Last last guru kami suruh kami menyanyikan lagu itu bersama sama di atas pentas.

Rumah kami waktu itu tak ada televisyen, jadi setiap malam sabtu aku akan mengendeng pergi ke rumah Faridah atau rumah sorang lagi teman aku Ramli untuk menonton cerita melayu. Abah memang tegas,dia tidak mahu membeli sebuah televisyen kerana tidak mau aku hayal dan lupa pelajaran.

No comments:

Post a Comment