Zaman kanak kanak ku terbahagi kepada dua..bersama mak dan abah, bersama uwan dan atok di kampong. Zaman kanak kanak ku ( dari kecil hingga berumur 7 tahun)di habiskan bersama uwan dan atok di Sungai Jelutong dan juga Kampong Chemomoi.
Sebagai cucu yang pertama atau yang sulong, aku mendapat perhatian yang lebih dari uwan dan atok ku. Aku adalah cucu yang manja, apa saja kehendakku akan di tunaikan oleh uwan dan atok serta bapa saudaraku pak cu ( Othman). Aku masih ingat betapa atok dan pak cu pagi pagi telah membawa aku ke sawah mencari ikan laga ( ikan karin). Pergi memancing di sungai dan bermacam kegiatan anak anak kampong di zaman itu.
Pak cu adalah seorang yang pandai dalam kerja tangan, aku masih ingat di Kampong Sungai Jelutong mengikut Pak Cu memikat burung tempua di kala padi sedang masak di sawah. Pak Cu membuat sangkar perangkap burung tempua dan burung pipit. Banyak burung yang kami tangkap dan berkesudahan burung burung itu menjadi hidangan makanan kami. Atok akan memastikan apa saja kehendak ku akan di tunaikan oleh Pakcu.
Aku belajar menjerat burung wak wak di sawah dari Pakcu, aku belajar melastik burung juga dari Pakcu, aku memang rapat dengan Pakcu. Acik ( makcik ku) adalah pesaing terdekat aku dalam bermanja dengan uwan, atok dan Pakcu. Kami selalu bergaduh, aku sering di halau oleh makcik ku. Aku masih ingat lagi kata kata peberet makcik bila kami bergaduh. * Hey anak Manap, pergi balik rumah mak bapak kau*..hahaha..apa pun sudah menjadi adat kanak kanak, pertelingkahan kami tak lama, sebenarnya kami amat rapat di zaman kanak kanak.
Bila tidor malam, aku dan makcik akan berebut rebut untuk tidur dengan uwan, kesudahannya,uwan membuat undang undang, aku tidur di sebelah kanan, makcik tidur di sebelah kiri uwan. Ada kalanya aku akan merajuk bila di buli makcik, dan aku akan lari tidur di serambi bersama pakcu.
Dalam seminggu, satu atau dua malam, uwan sebelah emak aku akan mengambil aku untuk tinggal bersama nya, uwan Inan( ibu kepada emak aku ), tinggal di kampong Ghalib, bersebelahan dengan kampong Sungai Jelutong.Tapi aku tak betah tinggal bersama uwan Inan kerana tiada kawan di sana, paling lama aku boleh bertahan hanya dua malam, selepas itu aku akan menangis minta di hantar pulang kerumah uwan dan atok.
Apabila uwan dan atok pindah kekampong Chemomoi, aku mengikut mereka. Walaupun tinggal di tengah hutan rimba, hati aku amat gembira, kerana aku bebas dan juga di manjakan oleh uwan dan atok serta Pakcu dan makcik.
Di kampong Chemomoi, aktiviti aku semakin bertambah, aku sering ikut Pakcu mandi di sungai, menjala dan menembak ikan dan juga ikut ke hutan menjerat kancil , napoh atau pelandok. Jika anak anak sekarang mengambil kucing sebagai pet, aku masih ingat lagi aku mempunyai se ekor anak kancil dab anak berok hutan sebagai pet.
Walau bagaimanapun, keseronokkan zaman kanak kanak kampong aku tidak bertahan lama apabila mak dan abah balik ke kampong untuk mengambil aku tinggal bersama mereka di Johor Bharu, kerana aku sudah mula untuk bersekolah darjah satu. Puas atok dan uwan memujuk aku supaya mengikut mak dan abah. Aku masih ingat kata kata atok * Ekau kono sekolah Ujang, duduk sini tak jadi oghang kau nanti, cuti sekolah nanti bulih balik sini*. Akhirnya aku mengalah, dengan raungan dan linangan air mata aku berpisah dengan uwan dan aton,pakcu dan makcikku..berakhirlah kehidupan zaman kanak kanak aku di kampong dan bermulalah kehidupan kanak kanakku bersama mak dan abah di Kampong Kubur Dagang,Kebun Teh, Johor Bharu.
Monday, June 29, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment